Paus Francis pada Khamis(5hb., September) menyeru solidariti menentang ekstremisme agama semasa lawatannya ke Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.
Ketua Gereja Katolik berusia 87 tahun itu menekankan kepentingan perpaduan untuk "mengalahkan budaya keganasan dan sikap tidak peduli" semasa lawatannya ke Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Paus Francis bertemu dengan Imam Besar Nasaruddin Umar dan menandatangani deklarasi bersama yang menekankan nilai-nilai bersama merentasi pelbagai agama untuk menggalakkan perdamaian dan keamanan.
Beliau dan imam besar berdiri di pintu masuk ke "Terowong Persahabatan", sebuah laluan bawah tanah yang menghubungkan kompleks masjid dengan katedral Katolik yang berdekatan, Our Lady of the Assumption.
Ia adalah "tanda yang penuh makna," kata Paus Francis kerana kedua-dua tempat ibadat bukan sahaja berhadapan antara satu sama lain tetapi juga dihubungkan, membolehkan "perjumpaan, dialog... pengalaman sebenar persaudaraan."
Paus Francis tiba di Indonesia pada Selasa, memulakan perjalanan luar negara terpanjang dalam tempoh jawatannya setakat ini, yang akan membawanya ke empat negara di Asia Tenggara dan Oceania dalam tempoh 12 hari akan datang.