Penyanyi terkenal Jiang Hui(江蕙) baru-baru ini menyumbangkan 30 unit mesin CPR automatik mudah alih generasi terkini dan 100 katil perubatan elektrik berteknologi tinggi untuk penjagaan intensif, yang diedarkan ke hospital awam di kawasan luar bandar dan pulau terpencil. Kementerian Kesihatan dan Kebajikan (MOHW) hari ini (2hb. Disember) menyatakan bahawa peralatan tersebut akan dihantar secara berperingkat mulai minggu ini.
Jiang Hui bekerjasama dengan Pusat Kebajikan PX Mart (全聯福利中心)untuk menyumbangkan peralatan perubatan kepada hospital awam di luar bandar dan pulau terpencil. MOHW menyampaikan rasa terima kasih atas kemurahan hati Jiang Hui, yang memberikan bantuan besar kepada pesakit kritikal dan kakitangan perubatan. Sumbangan ini membawa kasih sayang dan kehangatan kepada Taiwan. MOHW juga berterima kasih kepada Pengarah Hospital Veteran Taipei, Dr.Chen Wei-Ming(陳威明), atas bantuan beliau dalam memastikan sumbangan Jiang Hui sampai ke hospital yang memerlukan.
MOHW menyatakan bahawa peralatan perubatan yang disumbangkan kali ini termasuk 30 unit mesin CPR automatik mudah alih generasi terkini, setiap satu bernilai lebih sejuta dolar Taiwan. Peralatan ini mampu meningkatkan keberkesanan dalam kecemasan, memberikan lebih banyak masa untuk menyelamatkan nyawa pesakit serta mengurangkan tekanan dan beban kerja kakitangan perubatan. Dengan pemasangan di pulau terpencil dan kawasan luar bandar, ia dijangka memberi kesan besar dalam menyelamatkan lebih banyak nyawa berharga.
Selain itu, 100 katil perubatan elektrik berteknologi tinggi untuk penjagaan intensif turut disenaraikan dalam sumbangan kali ini. MOHW menjelaskan bahawa katil ini direka untuk pesakit kritikal yang terbaring atau memerlukan penjagaan jangka panjang. Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti penjagaan pesakit, tetapi juga mengurangkan beban kerja kakitangan perubatan dan risiko kecederaan pekerjaan semasa mengalihkan pesakit.
Sebanyak 12 hospital, termasuk Hospital Taitung, Hospital Hualien, Hospital Xinwu, Hospital Miaoli, Hospital Fengyuan, Hospital Nantou, Hospital Puzi, Hospital Xinying, Hospital Qishan, Hospital Pelancongan Hengchun, Hospital Kinmen, dan Hospital Penghu, telah menerima sumbangan tersebut. Jumlah dan jenis peralatan yang diberikan disesuaikan berdasarkan keperluan setiap hospital.
MOHW turut menyatakan bahawa hospital lain yang menerima sumbangan termasuk hospital di bawah pentadbiran Veteran Affairs Council, cawangan NTU dan NCKU, Hospital Angkatan Tentera Ketiga, serta Hospital Kristian Chiayi. Selain itu, biro kesihatan bandar Taipei dan Kaohsiung, pusat kesihatan Lanyu, dan pusat kesihatan Green Island juga menerima sumbangan tersebut.