(Taiwan, ROC) --- Keputusan "Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023" yang diumumkan Rabu lalu (12/4), menunjukkan pencapaian membanggakan pelajar Taiwan. Di antara 58 negara yang mengambil bahagian, pelajar Taiwan berjaya mencapai kedudukan ke-2 dunia dalam matematik pada peringkat gred ke-4 dan ke-8.
Manakala dalam bidang sains pula, pelajar Taiwan mendapat tempat ke-3 bagi kelas 4 dan tempat ke-2 bagi kelas 8, mencatatkan keputusan terbaik dalam sejarah penyertaan Taiwan. TIMSS sendiri telah diadakan sejak 1995 dan diadakan setiap 4 tahun sekali, menilai kebolehan matematik dan sains pelajar darjah 4 dan 8. Ini merupakan penyertaan ketujuh Taiwan sejak 1999, dengan jumlah 58 negara mengambil bahagian di peringkat gred 4, dan 44 negara di peringkat gred 8.
Kementerian Pendidikan Taiwan menyatakan bahawa walaupun pembelajaran secara bersemuka terjejas oleh pandemik COVID-19, pelajar Taiwan masih menunjukkan pencapaian yang cemerlang. Berbanding dengan TIMSS 2019, pelajar gred 4 Taiwan menunjukkan peningkatan dalam matematik dan sains, terutamanya peningkatan 15 mata dalam sains yang membawa mereka dari 4 kepada 2.
Pada peringkat gred 8, pencapaian sains mereka telah mengekalkan standard yang tinggi dengan peratusan tertinggi pelajar cemerlang dalam sejarah penyertaan mereka.
Bagaimanapun, tinjauan itu juga mendedahkan bahawa tahap keyakinan diri pelajar Taiwan dalam matematik dan sains masih ketinggalan daripada piawaian antarabangsa, yang merupakan nota untuk penambahbaikan pada masa hadapan.
Doktor Lee Che-di (李哲迪), Timbalan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Pendidikan Sains Universiti Normal Taiwan Nasional yang juga bertindak sebagai ketua projek menjelaskan, hasil tinjauan setakat ini menunjukkan terdapat masalah pengasingan pembelajaran dalam kalangan pelajar. Mereka cenderung kurang minat, kurang keyakinan, atau merasakan pembelajaran kurang berharga.
Menurutnya, fenomena serupa turut berlaku di negara Asia Timur lain seperti Korea Selatan dan Jepun, kecuali Singapura. Selain faktor budaya, ini juga disebabkan oleh peningkatan tahap kesukaran bahan daripada darjah 4 hingga darjah 8 yang memerlukan guru menyesuaikan kaedah pengajaran mereka. Selain itu, pelajar gred 8 menghadapi tekanan peperiksaan kebangsaan, yang secara semula jadi boleh menurunkan minat mereka untuk belajar dan keyakinan diri.