Kementerian Pendidikan hari ini (18hb) mengadakan Majlis Anugerah Sumbangan Pendidikan Sosial, dengan menghargai 30 kumpulan dan individu penerima anugerah. Guru seni tenunan tradisional masyarakat pribumi berusia 78 tahun, Yuyaw Peylinn, serta penulis kesusasteraan maritim, Liao Hung-Chi, telah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
Majlis anugerah tersebut berlangsung di Perpustakaan Negara pada 18 Disember 2024. Guru seni tenunan tradisional masyarakat pribumi suku Atayal dari Universiti Komuniti Shinguang, Yuyaw Peylinn, menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Beliau menyatakan bahawa beliau pernah melawat komuniti Chunyang untuk mempelajari tenunan tradisional suku Seediq. Kemudian, beliau menyertai Persatuan Tenunan Wulai, di mana beliau terus belajar dan memperbaiki kemahiran tenunan. Pengalaman-pengalaman ini telah membantunya berkembang dalam bidang seni tenunan tradisional masyarakat orang asal Taiwan. Beliau berasa gembira dapat menyampaikan semua ilmu yang dipelajarinya kepada pelajar-pelajarnya, dan berharap budaya tenunan tradisional Atayal dapat diwarisi ke serata dunia dalam hayatnya.
Seorang lagi penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ialah penulis kesusasteraan maritim, Liao Hung-Chi(廖鴻基). Beliau telah mendalami isu-isu berkaitan lautan selama bertahun-tahun. Banyak hasil karyanya telah dipilih untuk dimuatkan dalam buku teks pelbagai peringkat sekolah. Pada tahun 1998, beliau menubuhkan Yayasan Pendidikan Kebudayaan Maritim Kuroshio, sebuah organisasi bukan untung pertama di Taiwan yang memberi suara kepada perlindungan ikan paus, lumba-lumba, dan isu-isu lautan.
Dalam ucapan kemenangannya, Liao Hung-Chi berkata bahawa beliau menyedari Kementerian Pendidikan telah menerbitkan Kertas Putih Pendidikan Maritim dan giat mempromosikan pendidikan maritim. Beliau berasa bertuah dapat menyertai usaha ini dengan membawa kesusasteraan maritim ke sekolah-sekolah, dan memindahkan kelas dari daratan ke lautan. Selepas 30 tahun mengusahakan pendidikan di lautan, beliau percaya anugerah ini juga merupakan kemenangan untuk lautan dan Hualien.
Liao Hung-Chi berkata bahawa Taiwan dahulunya mempunyai dua jenis ikan paus besar, iaitu paus bongkok(大翅鯨) dan paus sperma(抹香鯨). Selepas 68 tahun sejarah pemburuan ikan paus, paus bongkok telah pupus. Namun, berita baiknya ialah baru-baru ini pasukannya mendapati paus sperma masih ada di perairan sekitar Taiwan. Beliau yakin bahawa paus sperma mampu membawa perhatian dunia kepada Taiwan. Beliau berkata, "Walaupun masyarakat Taiwan belum sepenuhnya menghargai laut, namun alam semula jadi masih memelihara kita dengan meninggalkan paus sperma untuk kita. Dari tahun 2023 hingga 2025, kami menjalankan projek 'Penemuan Paus Sperma'. Selepas dua tahun, kami yakin bahawa paus sperma sering berada di perairan kita selama beberapa bulan setiap tahun. Saya percaya paus sperma dapat menarik perhatian antarabangsa dan membawa dunia untuk melihat Taiwan."
Liao Hung-Chi juga mengingatkan bahawa Taiwan mempunyai gunung-gunung yang tinggi dan lautan yang luas, yang merupakan aset terbesar negara ini. Beliau yakin bahawa kewujudan paus sperma akan mendorong lebih ramai orang menaiki kapal, belayar ke laut, dan melihat Taiwan dari perspektif yang berbeza daripada daratan.
Selain dua penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, tahun ini terdapat 15 individu dan 15 kumpulan yang menerima Anugerah Sumbangan Pendidikan Sosial, termasuk Yayasan Pendidikan Pengguna Taiwan ROC, yang mempromosikan kemajuan undang-undang perlindungan pengguna, dan Yayasan Pendidikan Pengakap Chongsan, yang memperjuangkan pendidikan pengakap dan pemerkasaan belia. Kementerian Pendidikan berharap melalui majlis anugerah ini, rakyat Taiwan dapat memahami potensi besar dalam pendidikan sosial dan bersama-sama berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik.