(Taiwan, ROC) --- Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter berlaku pada pagi Selasa (7/1) di Kota Shigatse, Tibet, China. Menurut maklumat rasmi, sehingga petang Selasa, 126 orang direkodkan sebagai meninggal dunia, 188 orang cedera, dan lebih 3,000 rumah runtuh.
Menurut Pejabat Hal Ehwal Taiwan China, tiada laporan kematian atau kecederaan di kalangan warga Taiwan di kawasan bencana.
Pada pagi Selasa jam 09:05 (waktu Taiwan), gempa bumi kuat berlaku di Daerah Tingri, Kota Shigatse, Tibet. Data cerapan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menunjukkan magnitud 7.1 SR, manakala Biro Gempa Bumi China meletakkan magnitud pada 6.8 SR, dengan kedalaman 10 kilometer.
Menurut ringkasan laporan media China, siasatan awal menunjukkan bahawa setakat 19:00 (7/1), gempa bumi di Daerah Tingri telah membunuh 126 orang, mencederakan 188 orang, dengan sekurang-kurangnya 28 cedera parah, dan 3,609 rumah runtuh.
Media rasmi China, CCTV, juga berkata tahap tindak balas kecemasan gempa bumi di kawasan bencana telah dinaikkan ke tahap tertinggi. Sehingga 18:00 (7/1), dalam tempoh 9 jam selepas gempa utama melanda, 150 gegaran susulan telah dikesan, dengan gegaran susulan terbesar berukuran 4.4 pada skala Richter.