close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Zelensky: Pengecualian Ukraine dalam Perbincangan AS-Rusia

  • 03 February, 2025
  • 楊偉光
Zelensky: Pengecualian Ukraine dalam Perbincangan AS-Rusia
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy (X@ZelenskyyUa)

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada 1 Januari menyatakan bahawa pengecualian Ukraine daripada perbincangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mengenai perang di Ukraine adalah "sangat berbahaya". Beliau menyeru agar Kyiv dan Washington meningkatkan perbincangan untuk merangka rancangan gencatan senjata.

Dalam temu bual eksklusif dengan Associated Press, Zelenskyy menyatakan bahawa Rusia tidak berminat untuk terlibat dalam rundingan gencatan senjata atau membincangkan sebarang bentuk kompromi. Menurutnya, Kremlin berpendapat bahawa membuat konsesi ketika tentera Rusia sedang mendominasi medan perang dianggap sebagai kekalahan.

Zelenskyy juga mencadangkan bahawa Presiden AS, Donald Trump, mungkin boleh menggunakan ancaman sekatan terhadap sektor tenaga dan sistem perbankan Rusia, serta sokongan berterusan kepada tentera Ukraine, untuk memaksa Presiden Rusia, Vladimir Putin, ke meja rundingan.

"Saya percaya ini adalah langkah yang paling dekat dan penting." kata Zelenskyy semasa temu bual selama lebih satu jam di ibu negara Ukraine, Kyiv.

Sebelum temu bual ini, Trump pada 31 Januari menyatakan bahawa pegawai AS dan Rusia telah menjalankan perbincangan untuk mengakhiri perang tersebut. Trump mendakwa bahawa pentadbirannya telah melakukan perbincangan "yang sangat serius" dengan Rusia, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
"Mereka mungkin mempunyai hubungan tersendiri, tetapi membincangkan Ukraine tanpa melibatkan kami adalah berbahaya untuk semua." tegas Zelenskyy.

Beliau juga menyatakan bahawa pasukannya sentiasa berhubung dengan pentadbiran Trump, namun perbincangan tersebut hanya berada pada tahap umum. Zelenskyy yakin bahawa pertemuan bersemuka akan diadakan tidak lama lagi untuk merangka perjanjian yang lebih terperinci.

"Kita perlu melakukan lebih banyak usaha dalam hal ini." tambah Zelenskyy, sambil menyatakan bahawa adalah difahami jika Trump pada minggu-minggu pertama pentadbirannya lebih menumpukan kepada isu domestik.

Perang Ukraine yang telah berlarutan hampir tiga tahun kini berada di persimpangan kritikal. Trump berjanji untuk mengakhiri perang ini dalam tempoh enam bulan selepas mengambil jawatan, namun perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak masih besar, dan masih tidak jelas bagaimana gencatan senjata akan dicapai. Sementara itu, Rusia terus membuat kemajuan perlahan tetapi stabil di garis hadapan, manakala tentera Ukraine menghadapi kekurangan tenaga manusia yang serius.

Komen

Terbaharumore