Pelakon terkenal Taiwan, Barbie Hsu (大S), meninggal dunia di Jepun ketika melancong semasa perayaan Tahun Baru Cina akibat radang paru-paru yang disebabkan oleh selesema. Mendiang berusia 48 tahun. Jepun sedang mengalami lonjakan besar dalam kes selsema musim sejuk ini. Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun menganggarkan bahawa sejak September tahun lalu, jumlah keseluruhan pesakit selesema pada musim ini telah melebihi 9.5 juta orang.
Menurut definisi rasmi Jepun, lebih daripada 5,000 institusi perubatan yang ditetapkan di seluruh negara melaporkan jumlah pesakit selesema setiap minggu. Jika purata kes di setiap institusi melebihi satu orang, Jepun akan mengisytiharkan bahawa wabak itu telah mencapai tahap penularan nasional.
Menurut laporan Japan Broadcasting Corporation (NHK), Pengerusi Jawatankuasa Selesema Persatuan Penyakit Berjangkit Jepun, Dr. Ishida Naoshi, menyatakan bahawa "walaupun jumlah pesakit telah menurun dengan ketara dari tahap tertinggi dalam sejarah, selesema jenis A yang sedang merebak mungkin akan digantikan oleh selesema jenis B, dan kes selesema B berkemungkinan meningkat pada masa hadapan. Selain itu, kita juga perlu berwaspada terhadap penyakit berjangkit lain seperti COVID-19."
Dr. Ishida menggesa orang ramai untuk terus mengamalkan langkah pencegahan asas seperti kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Laporan tersebut turut memetik nasihat doktor bahawa tidur yang mencukupi dapat meningkatkan imuniti dan tenaga badan, membantu pemulihan lebih cepat. Walau bagaimanapun, jika demam tinggi tidak reda selepas dua atau tiga hari berehat, sakit kepala atau batuk menjadi semakin teruk, atau simptom seperti batuk dan hidung berair berlanjutan lebih dari dua minggu, adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Menurut laporan itu, kaedah paling berkesan untuk mencegah selesema dan komplikasi teruk akibat selesema masih lagi dengan menerima vaksin secara berkala setiap tahun.