Ribuan penduduk terpaksa berpindah dari bahagian utara Jepun selepas kebakaran hutan terbesar melanda negara itu dalam tempoh tiga dekad terus marak tanpa kawalan hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terkorban.
Kira-kira 2,000 penduduk melarikan diri dari kawasan sekitar bandar Ofunato, Jepun untuk tinggal bersama rakan atau saudara-mara, manakala lebih 1,200 lagi dipindahkan ke pusat perlindungan, menurut pihak berkuasa.
"Kami masih menilai keluasan kawasan yang terjejas, tetapi itu adalah kebakaran terbesar sejak kebakaran hutan pada tahun 1992 di Kushiro, Hokkaido," kata jurucakap agensi pengurusan bencana kepada AFP, hari ini.
Rakaman udara oleh NHK menunjukkan asap putih tebal naik dan menyelimuti seluruh kawasan pergunungan.
Setakat ini, satu mayat rentung sudah ditemui, lebih 80 bangunan mengalami kerosakan dan kira-kira 1,700 anggota bomba dikerahkan dari seluruh negara bagi mengawal kebakaran.