(Taiwan, ROC) -- Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC) dilaporkan akan mengembangkan pelaburannya di Amerika Syarikat (AS). Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan (MOEA) berkata pada 4 Mac bahawa kerajaan dan TSMC telah mempunyai kerjasama baik yang telah lama terjalin. Pelaburan luar negara TSMC adalah berdasarkan pertimbangan daya saing jangka panjang serta untuk memenuhi permintaan pelanggan global. Ini bukan sahaja tidak menjejaskan kedudukan teras Taiwan dalam industri semikonduktor global, malah mengukuhkan pengaruh globalnya dan mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Taiwan dalam rantaian bekalan global.
Presiden AS Donald Trump dan Pengerusi dan CEO TSMC C. C. Wei (魏哲家) di White House pada hari Isnin (3/3) bersama-sama mengumumkan bahawa TSMC akan melabur semula di negara Uncle Sam dengan nilai sekurang-kurangnya 100 bilion dolar AS. Pelaburan itu termasuk pembinaan tiga fabrik wafer, dua kemudahan pembungkusan termaju, dan pusat penyelidikan dan pembangunan. Projek itu akan menjadi pelaburan langsung asing tunggal terbesar dalam sejarah AS.
Direktorat Pembangunan Perindustrian (IDA) MOEA berkata pada petang Selasa bahawa industri semikonduktor Taiwan telah lama menjadi tonggak utama industri teknologi tinggi domestik dan pertumbuhan ekonomi. Walaupun TSMC melabur secara global, rancangan pelaburannya di Taiwan untuk pembuatan termaju kekal berterusan, termasuk penemuan teknologi dan peningkatan kapasiti pengeluaran untuk proses 2-nanometer, 1.4-nanometer dan lebih tinggi.
IDA menegaskan bahawa sebagai tambahan kepada Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Global TSMC di Taiwan yang telah beroperasi sejak 2023, TSMC juga terus mengembangkan fab wafer di Central Taiwan Science Park (CSTP) dan Southern Taiwan Science Park (STSP). Selain itu, TSMC sedang mengukuhkan kerjasama dengan rantaian bekalan tempatan untuk memastikan Taiwan kekal sebagai hab inovasi semikonduktor dunia, sambil memenuhi permintaan pasaran global.
IDA menegaskan kerajaan sentiasa menyokong strategi pembangunan yang boleh meningkatkan daya saing industri. Tidak kira bagaimana industri teknologi canggih Taiwan meluaskan jangkauannya secara global, berakar di Taiwan dan terus memperkukuh Taiwan tetap menjadi pendirian bersama kerajaan dan industri, "pendirian ini tidak akan goyah."
MOEA menegaskan bahawa pelaburan luar negara TSMC adalah berdasarkan pertimbangan daya saing jangka panjang serta untuk memenuhi permintaan pelanggan global, yang menyumbang kepada kestabilan rantaian bekalan semikonduktor global. Bagi Taiwan, selagi pelaburan itu selaras dengan strategi negara, ia merupakan lanjutan daripada kekuatan Taiwan.
MOEA berkata kerajaan akan terus bekerjasama dengan sektor swasta melalui model perkongsian awam-swasta, mekanisme semakan pelaburan, dan perancangan dasar untuk bersama-sama menjaga kepentingan jangka panjang industri teknologi tinggi. Ini bertujuan untuk memastikan kedudukan penting Taiwan dalam industri semikonduktor global.