Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang perubatan Taiwan sekali lagi melonjak ke pentas antarabangsa. Sistem amaran awal kematian mengejut yang dibangunkan oleh pasukan yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Informasi Kementerian Kesihatan dan Kebajikan, Lee Chien-Chang (李建璋), berjaya meraih Pingat Emas Edison buat kali kedua. Teknologi ini mampu mengeluarkan amaran sehingga 6 jam sebelum risiko kematian mengejut berlaku, dan berpotensi mengurangkan lebih separuh daripada kejadian sedemikian.
Anugerah Edison (Edison Awards), yang digelar sebagai "Oscar Dunia Inovasi", tahun ini menyaksikan tokoh-tokoh berprestij seperti Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, dan bekas CEO Intel, Pat Gelsinge, sebagai penyampai anugerah. Pasukan penyelidikan yang diketuai oleh Lee Chien-Chang, selepas memenangi Pingat Emas pada tahun 2024 menerusi sistem imejan perubatan metaverse, sekali lagi menerima pengiktirafan tertinggi tahun ini melalui sistem AI amaran awal kematian mengejut. Mereka menjadi antara pasukan kerajaan yang jarang sekali menerima anugerah ini dua kali berturut-turut.
Dalam sesi temu bual media hari ini, Lee menjelaskan bahawa sistem AI ini mampu mengesan awal tanda-tanda kematian mengejut, kejutan (shock), dan kegagalan pernafasan. Selain menganalisis enam petunjuk utama hayat secara masa nyata, keistimewaan sistem ini ialah keupayaannya menjana ramalan data seperti kadar pernafasan, degupan jantung, tekanan darah, dan kadar oksigen dalam darah untuk satu jam akan datang , ibarat "TV masa depan Doraemon" yang membolehkan pasukan perubatan membuat tindak balas awal demi menyelamatkan nyawa.
Projek ini merupakan kerjasama antara syarikat ASUS dan Majlis Sains Negara (國科會) di bawah inisiatif kerjasama industri-akademik. Ia mengambil masa lebih tiga tahun dan telah diuji di hospital-hospital utama seperti Hospital Nasional Taiwan, Cathay General Hospital, Hospital Sun Yat-sen, dan Hospital Chang Gung.
Menurut Lee, sistem ini boleh memberikan amaran sehingga 6 jam lebih awal, dengan kepekaan (sensitiviti) setinggi 95% dan kekhususan (spesifisiti) melebihi 92%, sekali gus mengelakkan amaran palsu yang boleh membebankan petugas kesihatan tanpa sebab.
Berhubung keberkesanan sistem dalam mengurangkan kadar kematian mengejut, Lee berkata bahawa memandangkan sistem ini baru sahaja dilaksanakan, kajian statistik menyeluruh masih diperlukan dalam tempoh satu hingga dua tahun. Namun, berdasarkan analisis literatur terdahulu, pengesanan awal berpotensi mengurangkan risiko kematian mengejut sekurang-kurangnya sebanyak separuh.
Lee turut menekankan bahawa teknologi ini dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan tempatan dan kini telah pun digunakan secara praktikal di Hospital Taichung di bawah kendalian Kementerian Kesihatan. Selain hospital, sistem ini juga sangat berguna bagi penjagaan pesakit di rumah dan institusi penjagaan jangka panjang (long-term care). Beliau menyatakan bahawa pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan Taiwan dalam bidang perubatan pintar, tetapi juga melambangkan kejayaan aplikasi inovasi teknologi kerajaan di peringkat antarabangsa.