close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

"Tuna Pertama Taiwan" Dilelong di Suao, Yilan pada Pagi 10 April

  • 08 April, 2025
  • 陳心怡
Kapten Lin Yi-jun (林宜俊) (kanan hadapan) dari bot nelayan berdaftar di Suao, Yilan, "Chuan Chang Long 168" (全昌隆168號), berjaya menangkap seekor ikan tuna sirip biru seberat 216 kilogram pada 6 April. Selepas proses pengesahan pada 7 April, ikan tersebut disahkan sebagai "Tuna Pertama Negara 2025". Lin bergambar kenangan bersama isterinya, Chiu Ling-chu (邱玲珠) (kiri hadapan), dan ikan tuna tersebut dengan penuh kegembiraan. (Sumber gambar: Persatuan Nelayan Daerah Suao)

Bot nelayan berdaftar di Suao, "Chuan Chang Long 168" (全昌隆168號) berjaya menangkap seekor tuna sirip biru hidup pada 6 April di perairan timur laut Taiwan. Tangkapan ini bukan sahaja merupakan "Tuna Pertama Suao" tahun ini, malah juga diiktiraf sebagai "Tuna Pertama Seluruh Negara". Ikan tersebut akan dilelong pada pagi 10 April jam 8:00 di Pusat Lelongan Ikan ke-3 di Nanfang’ao.

Sementara itu, sebuah bot nelayan dari Donggang, "Mao Feng Xiang" (茂豐祥號), memasuki pelabuhan pada jam 4:50 pagi 7hb dan setelah pemeriksaan, disahkan sebagai pemilik "Tuna Pertama Pingtung". Namun, "Chuan Chang Long 168" tiba lebih awal sekitar jam 1:30 pagi, dan dengan berat tuna mencapai 216 kilogram, ia bukan sahaja memenuhi piawaian "Tuna Pertama Suao", tetapi juga berjaya merebut gelaran "Tuna Pertama Taiwan".

Bagaimana status "Tuna Pertama Taiwan " ditentukan? Setiausaha Agung Persatuan Nelayan Daerah Suao, Chen Chun-sheng (陳春生), menjelaskannya menggunakan analogi perlumbaan, iaitu siapa yang sampai ke garisan penamat dahulu, dialah pemenangnya. Dalam kes ini, garisan penamat adalah pos pemeriksaan keselamatan, dan bot pertama yang tiba di sana berhak mendapat gelaran "Tuna Pertama Negara".

Kapten Lin Yi-jun (林宜俊), 49 tahun, dari "Chuan Chang Long 168", gembira sebaik mengetahui bahawa mereka layak untuk gelaran tersebut. Beliau menggambarkan kegembiraannya seperti "menang jackpot mesin slot". Katanya, pada tahun 2020, beliau juga pernah menangkap "Tuna Pertama Suao", ketika itu menggunakan ikan bandeng hidup sebagai umpan dan tidak menjangka akan menangkap tuna sirip biru, ia benar-benar satu kejutan. Namun untuk musim ini, mereka sengaja menyediakan sotong dan ikan mackerel sebagai umpan, dengan harapan dapat meraih "Tuna Pertama".

Tahun lalu, "Tuna Pertama Suao" dilelong pada harga NT$13,100 sekilogram. Lin menyatakan bahawa jika harga tahun ini lebih tinggi walaupun hanya NT$100 sekilogram, beliau sudah berasa sangat puas hati. Namun, jika dapat mencecah NT$15,000 sekilogram, itu akan menjadi lebih menggembirakan kerana sekarang ikan semakin sukar ditangkap, dan kos gaji pekerja asing juga meningkat. Beliau menjelaskan, hanya untuk lima kru nelayan dari Indonesia, ditambah dengan insurans buruh dan kesihatan, kos bulanan bot mencecah NT$300,000.

Komen

Terbaharumore