Satu penemuan penting dalam pengesanan awal penyakit Alzheimer telah diumumkan hasil kerjasama antara Hospital Besar Veteran Taipei (TVGH) dan Universiti Hanyang, Korea Selatan. Kajian bersama ini menunjukkan bahawa ujian darah mudah boleh digunakan untuk mengenal pasti individu yang berisiko tinggi menghidap Alzheimer dengan ketepatan setinggi 93%, sekali gus berpotensi menggantikan pemeriksaan PET yang mahal dan invasif.
Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Neurologi TVGH, Dr. Fuh Jong-Ling(傅中玲) , menjelaskan bahawa di Taiwan, kadar kelaziman demensia dalam kalangan warga emas berumur 65 tahun ke atas adalah kira-kira 8%, bersamaan satu daripada setiap 12 orang. Majoriti kes demensia adalah disebabkan oleh penyakit Alzheimer, diikuti demensia vaskular dan penyakit Parkinson.
Menurut Dr. Fu, Alzheimer berlaku akibat pemendapan protein amiloid di dalam otak yang menyebabkan kematian sel saraf. Ini memberi kesan kepada daya ingatan dan keupayaan berfikir. Apa yang membimbangkan, pemendapan protein ini boleh berlaku selama 10 hingga 20 tahun sebelum gejala demensia muncul.
Selama ini, diagnosis Alzheimer bergantung kepada kaedah seperti ujian cecair serebrospinal atau imbasan PET, yang bukan sahaja mahal tetapi juga bersifat invasif. Imbasan PET boleh mencecah sehingga NT$70,000 (kira-kira RM10,500). Namun, kajian TVGH dan Universiti Hanyang mendapati bahawa tahap protein tau yang difosforilasi (p-tau) dalam darah mempunyai hubungan erat dengan pemendapan amiloid di otak. Dengan menggunakan model p-tau dalam plasma, para penyelidik dapat mengelaskan peserta kepada tiga kumpulan risiko — rendah, sederhana dan tinggi — hanya melalui ujian darah biasa.
Ujian darah ini dianggarkan berharga sekitar NT$10,000 (kira-kira RM1,500), iaitu satu per tujuh daripada kos imbasan PET, dan telah diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa berprestij Alzheimer’s & Dementia. Dr. Fu berkata :“(asal bunyi) Ujian darah ini bukan sahaja lebih murah, tetapi juga lebih mudah dilakukan. Walaupun belum mendapat kelulusan daripada agensi kawal selia ubat dan makanan, beberapa platform ujian telah mencapai tahap ketepatan hampir 90%. Kami menjangkakan ia akan diluluskan tidak lama lagi.”
Beliau turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah meluluskan beberapa ubat antibodi yang menyasarkan protein amiloid untuk mengurangkan plak di otak melalui suntikan intravena. Taiwan juga telah memberi kelulusan kepada ubat serupa.
Dr. Fu menyeru agar kerajaan Taiwan memasukkan ujian darah p-tau ini ke dalam perlindungan insurans kesihatan nasional (NHIS) sebagai alat saringan utama untuk Alzheimer. Ini akan membantu mengenal pasti pesakit pada peringkat awal dan meraih peluang rawatan terbaik dalam tempoh emas penyakit tersebut.