close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Bekas Pegawai Taiwan-Kanada Katrina Chen Dedah Pernah Alami Keganasan Seksual, Berani Hadapi Luka Lama Melalui Buku Baharu

  • 12 May, 2025
  • 陳心怡
Bekas Pegawai Taiwan-Kanada Katrina Chen Dedah Pernah Alami Keganasan Seksual, Berani Hadapi Luka Lama Melalui Buku Baharu
Menjelang Hari Ibu, bekas menteri Taiwan di British Columbia, Katrina Chen (tengah), menghadiri pelancaran buku baharu bersama anak lelakinya, berkongsi pengalaman dan perasaannya sebagai mangsa keganasan berasaskan jantina. (Gambar:CNA)

Menjelang sambutan Hari Ibu, bekas menteri Taiwan di wilayah British Columbia, Kanada, Katrina Chen (陳葦蓁), menghadiri pelancaran buku terbarunya bersama anak lelaki tercinta. Dalam acara tersebut, beliau dengan berani mendedahkan pengalaman peribadinya yang pernah menjadi mangsa keganasan berasaskan jantina. Interaksi mesra dan penuh kasih sayang antara ibu dan anak itu menyentuh hati ramai hadirin hingga menitiskan air mata.

Pelancaran buku ini sangat istimewa, tiada gendang, tiada jambangan bunga yang mewah tetapi penuh dengan suasana kasih sayang.

Katrina Chen, yang pernah digelar antara tokoh politik minoriti paling berpengaruh di British Columbia, merupakan anak kepada bekas Ahli Majlis Bandaraya Taichung, Chen Rui-de. Beliau berhijrah ke Kanada pada tahun 2000 untuk melanjutkan pelajaran, dan kemudiannya menetap di sana. Pada 2014, beliau memulakan kerjaya politik sebagai ahli lembaga pendidikan di City of Burnaby. Beliau kemudiannya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Wilayah British Columbia pada tahun 2017, sebelum dilantik sebagai Menteri Penjagaan Kanak-kanak. Pada tahun 2024, beliau beralih bidang dan kini mengetuai koperasi kredit Cina pertama di Kanada. Di sebalik kerjaya yang cemerlang, beliau merupakan seorang mangsa yang terselamat daripada keganasan berasaskan jantina.

Katrina mengakui pernah menjadi mangsa semasa kecil, dan selepas berkeluarga, sekali lagi mengalami keganasan dalam rumah tangga, pengalaman yang sangat mendalam dan meninggalkan kesan dalam hidupnya. Kini, walaupun enggan mengulas lanjut mengenai pelaku atau peristiwa terperinci, beliau memilih untuk menulis buku sebagai langkah berani menyembuhkan luka lama.

Katanya, “Dalam jangka masa yang lama, saya tak sanggup melihat luka saya sendiri. Saya tak berani beritahu ibu bapa atau rakan-rakan, malah saya tertanya-tanya, adakah ini semua salah saya?”

Setelah bertahun-tahun, beliau akhirnya belajar untuk menghadapi dan menyembuhkan luka itu, dan menyalurkan emosinya melalui penulisan. Buku baharunya berjudul “A Stronger Home” (Rumah yang Lebih Kuat) ialah sebuah buku bergambar kanak-kanak yang mengisahkan seorang budak lelaki dan ibunya yang melarikan diri daripada keganasan dan kekacauan dalam rumah. Mereka pernah hidup berpindah-randah, tetapi saling menyokong antara satu sama lain. Walaupun ketakutan masih ada, mereka tetap memancarkan harapan dan kegembiraan kerana erti sebenar “rumah” terletak dalam hati yang penuh kasih sayang.

Pelancaran buku pada 9 Mei itu turut dihadiri ramai tokoh penting, termasuk Speaker Parlimen British Columbia Raj Chouhan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Peguam Negara Niki Sharma, Ahli Parlimen Janet Routledge dan Kelly Greene, Datuk Bandar Burnaby Mike Hurley, dan Ketua Pejabat Perwakilan Taipei di Vancouver, Liu Li-xin, serta ramai wakil komuniti setempat.

Anak lelaki Katrina, Yoann, digelar “malaikat kecilnya”, sering duduk rapat dengan ibunya dan membantunya membaca isi buku – kasih sayang yang terpancar antara mereka meruntun hati ramai yang hadir.

Liu Li-xin memuji Katrina sebagai “anak perempuan Taiwan yang hebat”. “Sama ada sebagai ahli parlimen atau pemimpin kewangan, beliau sentiasa membantu golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat Kanada dan sangat menyokong Taiwan. Dengan semangat dan kasih sayangnya, saya percaya beliau akan menjalani kehidupan yang lebih gemilang selepas meninggalkan bayangan silam.”

Dalam ucapan mereka, Raj Chouhan dan Niki Sharma kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata. Mereka meluahkan rasa simpati terhadap penderitaan yang ditanggung Katrina, dan pada masa yang sama, berasa bangga dengan keberanian beliau dan anaknya memulakan hidup baharu.

Katrina menyatakan bahawa melalui buku ini, beliau ingin menggalakkan mereka yang mengalami pengalaman serupa supaya berani tampil ke hadapan. “Hanya selepas melalui proses penyembuhan, seseorang yang terluka tidak akan melukai orang lain – malah boleh menjadi sumber kekuatan buat orang lain.”

Beliau turut menyeru agar kesedaran terhadap isu keganasan berasaskan jantina benar-benar meresap ke dalam minda semua orang. “Walaupun kerajaan Kanada dan Taiwan telah berusaha memerangi keganasan berasaskan jantina, ia masih berlaku, dan ramai mangsa masih tidak berani bersuara. Saya berharap setiap orang akan berdiri melawan pada saat-saat penting.”

Komen

Terbaharumore