close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Menteri Kesihatan Taiwan Tampil di Media Amerika: Sistem Kesihatan Taiwan Contoh Terbaik Dunia

  • 17 May, 2025
  • 陳心怡

Menteri Kesihatan dan Kebajikan Taiwan, Chiu Tai-yuan, menulis rencana kepada media Amerika Syarikat untuk menekankan bahawa sistem insurans kesihatan Taiwan yang telah beroperasi selama 30 tahun kini mencatatkan kadar penyertaan melebihi 99.9%, menjadikannya model teladan sistem penjagaan kesihatan global. Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar menyokong penyertaan Taiwan dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menjelang pembukaan Mesyuarat Agung Kesihatan Sedunia (WHA) ke-78 pada 19 Mei, rangkaian akhbar mingguan di bawah Lighthouse Media News di California Selatan telah menyiarkan rencana pendapat Chiu pada 15 Mei, bertajuk “30 Tahun Insurans Kesihatan Taiwan: Membentuk Kesaksamaan Kesihatan, Menuju Taiwan yang Lebih Sihat”.

Dalam tulisannya, Chiu menyeru WHO untuk mematuhi prinsip profesionalisme dan keterangkuman, serta menjemput Taiwan menyertai WHA dan pelbagai mesyuarat serta aktiviti yang dianjurkan oleh WHO.

Rencana itu menyatakan bahawa sejak pelaksanaan insurans kesihatan nasional pada tahun 1995, Taiwan telah menyediakan perlindungan perubatan yang adil dan efisien kepada rakyatnya. Dengan kadar penyertaan melebihi 99.9%, Taiwan menjadi contoh sistem penjagaan kesihatan yang cemerlang di dunia. Malah, selama tujuh tahun berturut-turut, Taiwan menduduki tempat pertama dalam penilaian indikator penjagaan kesihatan global oleh laman pangkalan data antarabangsa Numbeo.

Chiu menegaskan bahawa walaupun Taiwan berhadapan dengan cabaran politik, negara itu tetap aktif menyumbang dalam usaha kesihatan global dan komited menyokong sistem kesihatan antarabangsa. Taiwan berharap untuk bekerjasama dengan masyarakat dunia dalam merealisasikan prinsip WHO bahawa “kesihatan adalah hak asasi manusia”, serta mencapai matlamat pembangunan mampan PBB iaitu “tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang”.

Selain itu, Ketua Pejabat Perwakilan Taiwan di Los Angeles, Jimmy K.C. Yu (紀欽耀), turut menulis kepada akhbar Beverly Press di California Selatan pada 15 Mei. Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar menyokong penyertaan Taiwan dalam WHO, dengan menekankan bahawa “kesihatan adalah hak asasi manusia, dan mengiktiraf peranan Taiwan dalam kesihatan global bukan sahaja langkah yang praktikal, malah tindakan yang adil dan beretika.”

Komen

Terbaharumore