(Taiwan, ROC) -- Majlis perasmian Sukan Masters Dunia 2025 Taipei dan New Taipei (2025雙北世界壯年運動會) telah diadakan hari ini (17 Mei) pada jam 7:00 malam di Taipei Arena. Majlis perasmian yang diadakan pada sebelah malam itu membawa tema "Kami Berkongsi Langit Yang Sama", menggabungkan perspektif silang budaya dan sukan, dan menjemput atlet legenda dari latar belakang dan generasi berbeza untuk bersama-sama, mempamerkan daya tarikan atlet dan semangat Sukan Masters Dunia.
Selepas memperkenalkan Presiden Persekutuan Sukan Dunia Masters Antarabangsa (IMGA) Sergey Bubka, serta tetamu kehormat seperti Datuk Bandar Taipei Chiang Wan-an (蔣萬安) dan Datuk Bandar Taipei Baru Hou Yu-ih (侯友宜), ribuan atlet dan tokoh utama acara itu mula memasuki arena secara bergilir-gilir mengikut jenis sukan yang dipertandingkan.
Sebelum pembukaan Sukan Dunia Masters 2025, penganjur mengadakan perarakan bertajuk "The Masters Dream Parade". Laluan bermula dari Dewan Bandaraya Taipei, melalui Shifu Street, Songgao Street, dan Yixian Street, sehingga tiba di tempat upacara perasmian.
Walaupun Taipei dilanda hujan lebat petang tadi, tapi tidak mematahkan semangat para atlet. Peminat sukan dari semua peringkat umur dan negara datang dengan pelbagai sepanduk dan bendera. Sebahagian daripada mereka memakai pakaian yang dihiasi dengan bendera negara atau unsur budaya masing-masing. Ramai peserta juga kelihatan bersemangat untuk bergambar dengan maskot Sukan Dunia Masters, "Zhuangbao". Terdapat juga pelbagai persembahan di sepanjang laluan perbarisan, mewujudkan suasana ceria dan santai.
Sukan Master Dunia 2025 akan berlangsung selama 14 hari, dari 17-30 Mei. Acara ini merangkumi 35 sukan yang terdiri daripada 19 sukan wajib, 14 sukan elektif, dan 2 sukan demonstrasi. Semua perlawanan telah diadakan di 69 tempat yang tersebar di 6 wilayah di utara Taiwan, iaitu: Taipei, New Taipei, Yilan, Taoyuan, Hsinchu County, dan Hsinchu City.