Sempena ulang tahun perlantikan Presiden Taiwan, Lai Ching-te(賴清德) pada 20 Mei, Persatuan Jaminan Kualiti Pelancongan (TQAA) hari ini mengumumkan kadar bayaran munasabah untuk pakej pelancongan bagi suku ketiga tahun ini. Namun, Pengerusi Jawatankuasa Penyelia TQAA, Huang Wen Ching(黃文卿), menyatakan secara terus terang bahawa dasar pelancongan kerajaan "kurang menyentuh realiti", dan sasaran untuk menarik 10 juta pelancong ke Taiwan tahun ini masih merupakan cabaran besar.
Huang mengupas isu ini dari tiga sudut dan berkata:"(bunyi asal) Perkara yang paling tidak digemari kerajaan apabila kami sebut ialah, tanpa kehadiran pelancong dari China, adalah sangat sukar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Kerajaan memang menyatakan bahawa telur tidak patut diletakkan dalam satu bakul, namun promosi pelancongan antarabangsa masih sangat terhad dan tidak banyak perubahan dalam pendekatannya. Selain itu, China kini memberikan pelbagai kemudahan visa—malah pengecualian visa—kepada negara-negara Asia Tenggara, menyebabkan ramai rakan kerjasama kami dari rantau tersebut beralih ke China. Oleh itu, jika kerajaan ingin mencapai sasaran tahun ini, masih banyak yang perlu diusahakan."
Mengulas isu lain yang turut memberi kesan kepada industri pelancongan, Huang turut menyentuh mengenai kemungkinan impak daripada tarif balas yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Menurut beliau, dalam keutamaan perbelanjaan rakyat yang merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan dan hiburan—“hiburan” selalunya diutamakan paling akhir. Jika kos sara hidup meningkat, bajet percutian akan dipotong terlebih dahulu, terutamanya dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa. Malah, beliau menyatakan bahawa banyak syarikat sudah mula bersikap lebih konservatif terhadap pelancongan korporat untuk separuh kedua tahun ini.
Walau bagaimanapun, pasaran pelancongan keluar dari Taiwan masih menunjukkan prestasi yang kukuh. Dalam konteks ini, pengukuhan nilai dolar Taiwan (NTD) merupakan berita baik, kerana kebanyakan bayaran kepada agensi pelancongan luar negara dibuat dalam mata wang asing seperti dolar AS, yen Jepun, atau euro. Namun begitu, jika pengukuhan mata wang Taiwan menjejaskan keuntungan sektor eksport, ini mungkin menurunkan gaji dan faedah pekerja, sekali gus memberi impak negatif terhadap industri pelancongan. Pada masa yang sama, nilai tukar yang tinggi juga boleh mengurangkan keinginan pelancong asing untuk melawat Taiwan.
Akhir sekali, Huang turut menegaskan bahawa kesan jangka panjang daripada pengukuhan dolar Taiwan terhadap penurunan harga pakej pelancongan masih belum jelas. Katanya, bon kerajaan AS akan matang pada bulan Jun, dan sama ada mata wang Taiwan akan terus menguat atau melemah selepas itu masih menjadi persoalan yang belum pasti.