close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Sukan Masters Dunia 2025 Taipei–New Taipei Melabuhkan Tirai: Baton Diserahkan kepada Kansai 2027

  • 30 May, 2025
  • 李婉琳
Sukan Masters Dunia 2025 Taipei–New Taipei Melabuhkan Tirai: Baton Diserahkan kepada Kansai 2027
Majlis penutupan Sukan Masters Dunia Taipei-Taipei Baru 2025 telah diadakan pada petang 30hb. Sukan seterusnya akan dihoskan oleh Kansai, Jepun. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Dunia Masters Kansai Masayoshi Matsumoto (2 dari kanan) datang ke Taiwan untuk menghadiri acara itu, mengambil alih bendera Persatuan Sukan Masters Antarabangsa (IMGA), dan bergambar dengan Presiden IMGA Sergey Bubka (2 dari kiri), Datuk Bandar New Taipei Hou Youyi (侯友宜,kanan), dan Datuk Bandar Taipei Wayne Chiang (蔣萬安,kiri). (Foto: CNA)

Sukan Masters Dunia 2025 yang berlangsung selama dua minggu di Taipei dan New Taipei secara rasmi melabuhkan tirai malam ini. Dalam majlis penutupan yang meriah diadakan di perkarangan luar Muzium Seni Bandar Baru Taipei, Datuk Bandar Taipei, Wayne Chiang(蔣萬安) dan Datuk Bandar New Taipei, Hou You-yi(​侯友宜), mengimbas kembali momen-momen gemilang kejohanan serta berkongsi pengalaman peribadi mereka sebagai peserta, sambil menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Presiden Persatuan Antarabangsa Sukan Masters, Sergey Bubka, turut hadir dan memuji kejohanan ini sebagai penanda aras baharu untuk tuan rumah akan datang. Beliau secara simbolik menyerahkan bendera kejohanan kepada Kansai, Jepun, yang bakal menjadi tuan rumah edisi seterusnya pada tahun 2027.

Sukan Masters Dunia 2025 menarik lebih 25,000 atlet dari 107 buah negara, mempertandingkan pelbagai acara selama dua minggu yang menyaksikan lebih 13,500 pingat disampaikan. Majlis penutup menampilkan persembahan daripada pelbagai kumpulan seni yang berjaya menghidupkan suasana pesta bersama para atlet dari seluruh dunia.

Dalam ucapan mereka, kedua-dua datuk bandar menyoroti kisah-kisah inspirasi dari kejohanan ini – termasuk pasukan bola keranjang “Shenju” (神駒)yang jumlah usia ahlinya mencecah 440 tahun, atlet tertua kejohanan berusia 105 tahun dari Thailand, Sawang Janpram, peserta berusia 91 tahun dari Mongolia, Radnaa Tseren, serta atlet veteran tempatan berusia 88 tahun, Pan Hsiu-yun, yang dikenali sebagai “Nenek Jet”. Mereka semua membuktikan semangat kejohanan ini – “sukan sepanjang hayat, penyertaan untuk semua”. Turut mengambil bahagian ialah ramai bekas atlet kebangsaan dan artis tempatan yang kembali ke gelanggang demi menyahut seruan gaya hidup aktif.

Bubka dalam ucapannya berkata beliau menyaksikan sendiri semangat persahabatan dan ketahanan yang luar biasa sepanjang beliau melawat pelbagai venue. “Kepada semua atlet – anda adalah jiwa sebenar Sukan Masters. Anda datang bukan sekadar untuk bersaing, tetapi untuk meraikan kehidupan melalui sukan. Ia membuktikan bahawa mengejar impian dan matlamat tidak ada penghujung, dan sukan adalah satu perjalanan seumur hidup yang digerakkan oleh semangat, bukan dibatasi usia,” ujar beliau.

Beliau turut memuji pelaksanaan kejohanan ini yang dianggap cemerlang – daripada majlis pembukaan yang mengagumkan, fasiliti bertaraf tinggi, organisasi pertandingan yang lancar, hinggalah kepada sambutan hangat daripada penduduk tempatan.

Sebagai simbol perpindahan baton, Bubka menerima bendera kejohanan daripada Chiang dan Hou, sebelum menyerahkannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kansai 2027, Masayoshi Matsumoto. Dalam ucapan balasnya, Matsumoto berkata beliau amat terharu dengan kehangatan dan semangat penganjur di Taiwan, dan berharap untuk meneruskan legasi tersebut di Kansai. Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan antara Taiwan dan Kansai akan terus diperkukuhkan melalui sukan, dan mengalu-alukan semua atlet untuk berkumpul semula di Jepun dua tahun lagi.

Majlis penutup mencapai kemuncaknya dengan persembahan lagu “Friday Night” oleh kumpulan lelaki Energy, disusuli pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam, menandakan penutup gemilang kepada Sukan Masters Dunia 2025. Semua yang hadir turut diundang untuk bertemu kembali pada edisi seterusnya di Kansai, 2027.

Komen

Terbaharumore