(Taiwan, ROC) --- Gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan Maghribi, Afrika Utara pada 8 September 2023. Sehingga berita ini dikeluarkan, lebih 2,000 orang telah terkorban akibat gempa bumi itu. Selain itu, banyak bangunan yang musnah dan rosak termasuk masjid bersejarah abad ke-12 yang kini rosak teruk.
Pakar percaya bahawa salah satu punca kerosakan besar adalah kekurangan reka bentuk tahan gempa di bangunan di kawasan itu, memandangkan gempa bumi jarang berlaku di sana. Menurut laporan dari media antarabangsa, USGS berkata bahawa pusat gempa adalah di kawasan pedalaman tengah Maghribi.
Pada tahun 1960, bahagian barat daya Maghribi turut dilanda gempa bumi besar yang mengorbankan lebih 12,000 orang. Gempa bumi ini adalah yang terbesar di kawasan itu dalam tempoh 60 tahun yang lalu. Berdasarkan video dan foto yang tersebar, jelas menunjukkan banyak bangunan runtuh sejurus selepas gempa bumi.
Masjid Tinmal, peninggalan abad ke-12 yang terletak di pergunungan Atlas Tinggi dan karya seni bina Almohad klasik, juga mengalami kerosakan yang besar. Profesor Seismologi dari Universiti Kagawa, Yoshiyuki Kaneda, menganalisis bahawa pusat gempa bumi berada di persimpangan antara plat benua Eurasia dan plat Afrika, di mana aktiviti gempa bumi sebenarnya tidak kerap berlaku di kawasan ini.
Menurut data USGS, dalam radius 500 kilometer dari pusat gempa, sejak 1900 hanya terdapat 9 gempa bumi dengan kekuatan melebihi 5SR, dan ini adalah kali pertama gempa bumi dengan kekuatan melebihi 6SR.
Kaneda menegaskan bahawa daripada imej yang ditunjukkan pada berita, bangunan di kawasan yang terjejas kelihatan sangat rapat dan lama. Oleh kerana gempa bumi besar jarang berlaku di kawasan itu, bangunan tempatan tidak direka bentuk untuk tahan gempa, dan penduduk tempatan mungkin kurang sedar tentang risiko bencana yang berlaku.
Selain itu, gempa bumi yang dimaksudkan itu berlaku pada waktu malam, yang mungkin juga antara faktor yang memburukkan lagi impak bencana tersebut.