Presiden A.S. Joe Biden menandatangani rang undang-undang pada hari Rabu yang meluluskan bantuan asing AS$95 bilion kepada Ukraine, Israel dan Taiwan. Bantuan asing terbaharu akan memberi AS$61 bilion kepada Ukraine, AS$26 bilion kepada Israel, dan AS$8 bilion kepada Taiwan. Jurucakap Kabinet Taiwan Lin Tze-luen (林子倫) mengucapkan terima kasih terhadap sokongan dwipartisan kerajaan A.S. untuk Taiwan dan usaha untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.
Kementerian Luar Taiwan juga merakamkan rasa terima kasih kepada A.S. dan berkata tindakan sokongan langsung ini juga merupakan bukti hubungan teguh antara Taiwan dan A.S. kerana tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-45 Akta Perhubungan Taiwan. Mengenai kritikan China terhadap rang undang-undang terbaru yang diterima Taiwan, Jurucakap Kementerian Luar Jeff Liu (劉永健) berkata reaksi sedemikian dijangkakan dari China.
Liu berkata perhatian masyarakat antarabangsa di rantau itu membuktikan lagi bahawa mengekalkan kestabilan di seluruh Selat Taiwan bukanlah "isu domestik" seperti yang didakwa China. Kementerian Luar Taiwan menekankan bahawa walaupun Taiwan memegang tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatannya, sokongan antarabangsa daripada negara-negara yang berfikiran sama akan membantu menghalang pencerobohan China.