(Taiwan, ROC) – Presiden Tsai Ing-wen (蔡英文) menghadiri majlis perasmian kilang Powerchip Semiconductor Manufacturing Corp. (PSMC) pagi tadi (2/5). Presiden berkata pembukaan kilang baharu itu bukan sahaja menunjukkan kekuatan industri Taiwan kepada dunia, tetapi juga menonjolkan daya tahan kukuh industri semikonduktor Taiwan. Presiden juga menegaskan bahawa industri global akan menghadapi perubahan yang sangat pesat dan status industri semikonduktor Taiwan akan menjadi lebih kritikal.
Kerajaan dan sektor swasta akan terus bekerja keras untuk mengekalkan kecemerlangan semikonduktor Taiwan dan mencipta ledakan teknologi seterusnya. PSMC memulakan pembinaan kilang baharunya di Tongluo pada Mac 2021 dengan keluasan tanah lebih daripada 110,000 meter persegi. Projek kilang wafer 12 inci itu bernilai pelaburan lebih daripada NT$ 80 juta. Fasa pertama loji telah siap dan mempunyai 28,000 meter persegi ruang bersih. Kilang baharu itu dijangka mempunyai kapasiti 50,000 wafer 12 inci untuk menjalankan proses 55, 40 dan 28 nanometer dalam pengeluaran bulanan.
Presiden Tsai Ing-wen (蔡英文), ketua-ketua kementerian berkaitan, Institut Amerika di Taiwan (AIT), wakil dari pejabat perwakilan India, Jepun, dan Gabenor Wilayah Miyagi hadir pada acara perasmian hari ini. Dalam ucapannya, presiden mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PSMC kerana menunjukkan kekuatan industri Taiwan kepada dunia. Kejayaan penyiapan dan pembukaan kilang, walaupun berdepan cabaran pandemik, sekali lagi menyerlahkan daya tahan industri semikonduktor Taiwan.
Presiden berkata bahawa industri semikonduktor adalah masa lalu, masa kini dan masa depan Taiwan. Ia juga penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi perindustrian Taiwan. Sepanjang 8 tahun yang lalu, kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk mempromosikan revolusi digital dan inovasi pintar dengan menggunakan kelebihan semikonduktor untuk memastikan kedudukan utama Taiwan dalam ekosistem teknologi global.