Gunung Ibu 伊布火山di Pulau Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, meletus lagi tengah hari tadi dengan menghamburkan awan abu hingga setinggi sekitar tujuh kilometer (km) dari kawah puncak utama selama kira-kira 10 minit.
Letusan pada jam 12.35 tengah hari waktu Indonesia Timur itu juga memuntahkan pasir yang dibawa angin menghala arah barat sehingga ke pos pemerhatian gunung berapi dan pusat perlindungan sementara di Kampung Gam Ici.
Sebilangan penduduk sedang berlindung di pusat terbabit susulan peningkatan letusan sejak kebelakangan ini. Selepas letusan Gunung Berapi Ibu awal bulan ini, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia telah meningkatkan amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi pada 16hb.Mei.
"Keadaan ketika letusan itu berlaku adalah agak tenang tanpa timbul panik dalam kalangan penduduk," kata jurucakap BNPB Indonesia, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Penduduk dinasihatkan mengelak melakukan aktiviti luar, selain memakai pelitup muka yang telah disediakan bagi melindungi diri daripada masalah pernafasan ketika berdepan hujan abu dan pasir yang berterusan.
Abdul Muhari memaklumkan bahawa abu letusan Gunung Ibu tidak jelas kelihatan dari pos pemerhatian disebabkan kabus tebal dan keadaan awan.