(Taiwan, ROC) --- Wabak COVID-19 di Taiwan meningkat semula. Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Taiwan pada Rabu (12/6) mengumumkan bahawa hampir 2,000 klinik di seluruh Taiwan akan mengedarkan 3 juta kit ujian antigen pantas percuma kepada orang ramai mulai Julai depan. Jumlah bajet untuk program ini adalah lebih kurang NT$4.2 juta.
Pada hari Rabu, CDC melaporkan terdapat 328 kes domestik baharu COVID-19 yang disahkan minggu lepas (4 Jun - 10 Jun), meningkat daripada 263 kes minggu sebelumnya. Selain itu, terdapat 20 kematian baharu minggu lalu, turun daripada 26 kematian minggu sebelumnya. Sembilan puluh peratus daripada jumlah kematian adalah warga emas berumur 65 tahun ke atas. Peningkatan kes ini menunjukkan bahawa Taiwan sedang memasuki gelombang baharu jangkitan COVID-19.
Jurucakap CDC, Tseng Shu-hui (曾淑慧), menyatakan dalam sidang akhbar hari ini bahawa untuk melindungi kesihatan awam dan memaksimumkan keberkesanan sumber pencegahan wabak, kit ujian antigen pantas percuma akan diedarkan melalui kemudahan kesihatan. Pengeluar kit ujian akan mengedarkan sekurang-kurangnya 3 juta kit ujian antigen pantas COVID-19 ke pelbagai kemudahan kesihatan.
CDC akan memastikan kemudahan kesihatan tidak menjual kit ujian ini dan hanya memberikannya secara percuma kepada orang ramai, Akan ada sekurang-kurangnya 800 titik pengedaran. Jumlah bajet untuk program itu ialah NT$4.2 juta, dan proses tender dijangka selesai seawal minggu depan, jadi pengedaran kit ujian boleh dimulakan pada 1 Julai 2024.