(Taiwan, ROC) —- Penuaan penduduk luar bandar telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian. Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Pertanian (MOA) sebelum ini telah membuka kuota 12,000 PMA (Pekerja Migran Asing) bagi mengisi kekosongan tenaga kerja pertanian di peringkat asas. Bagaimanapun, menurut laporan kementerian itu, dianggarkan keseluruhan kuota itu akan habis tidak lama lagi.
Pada Khamis (27/6), Menteri Pertanian, Chen Junne-jih (陳駿季), menyatakan pihaknya akan mengajukan permohonan penambahan 8,000 pekerja kepada Kementerian Tenaga Kerja (MOL). MOA menjelaskan bahawa pembangunan pertanian semasa menghadapi pelbagai cabaran, termasuk penuaan penduduk luar bandar, penguasaan petani kecil, kaedah pengeluaran intensif buruh, dan keadaan kerja yang tidak selesa.
Ini menyukarkan generasi bukan petani atau mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian untuk memasuki sektor ini sehingga mengakibatkan kekurangan tenaga kerja.
Menurut statistik Direktorat Jeneral Bajet, Perakaunan dan Perangkaan (DGBAS), jumlah pekerja sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan penternakan pada 2023 ialah 509,000 orang, turun 21,000 daripada 2022, dan 50,000 daripada 2019. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, taburan umur pekerja pertanian telah didominasi oleh kumpulan umur 45-64 tahun (lebih daripada 50%), diikuti oleh kumpulan umur 25-44 tahun (sekitar 23%), dan 65 tahun ke atas ( sekitar 20%). Ini menunjukkan bahawa lebih separuh daripada penduduk dalam sektor pertanian adalah pekerja pertengahan umur dan warga emas, dengan trend ke arah penuaan semakin meningkat.