Pemimpin parti Buruh, Keir Starmer secara rasmi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) selepas pelantikannya diperkenankan Raja Britain, Raja Charles III pada Jumaat.
Dalam ucapan nasional pertamanya dari Downing Street, Starmer menekankan komitmen terhadap perpaduan, perkhidmatan awam dan permulaan baharu untuk negara, lapor Agensi Anadolu.
Memulakan ucapannya, Starmer mengiktiraf perdana menteri sebelum ini, Rishi Sunak memujinya atas peranan perintisnya sebagai perdana menteri Asia Britain yang pertama, serta dedikasi dan kerja kerasnya.
"Kami mengiktiraf dedikasi dan kerja keras yang dibawanya dalam kepimpinannya," katanya.
Apabila Starmer dan isterinya, Victoria Starmer, tiba di Downing Street dari Istana Buckingham, mereka disambut di pintu masuk oleh penyokong Buruh yang mengibarkan bendera.
Starmer berhadapan dengan beberapa cabaran yang menakutkan. Beliau berkata British sudah bosan dengan kejatuhan perkhidmatan awam, kenaikan harga barang dan janji kosong daripada ahli politik.
Beliau berkata kerajaannya akan menegakkan prinsip " negara diutamakan, parti dikemudiankan. " selepas beberapa siri skandal semasa pemerintahan Konservatif yang menjejaskan kepercayaan Masyarakat. Starmer kemudian membincangkan kemerosotan kepercayaan terhadap politik Britain, menegaskan bahawa ia hanya boleh dipulihkan melalui tindakan, bukan kata-kata.