Sekurang-kurangnya lapan orang maut, manakala 19 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah jambatan di lebuh raya runtuh akibat kejadian tanah runtuh di barat daya China.
Media negara hari ini melaporkan, kejadian itu berlaku berhampiran Kangding(康定), di wilayah autonomi Tibet Garze di barat daya Sichuan(四川), awal pagi semalam.
Stesen penyiar negara, CCTV pula melaporkan empat kenderaan dinaiki 11 orang dilaporkan sedang menggunakan jambatan menghubungkan dua terowong itu yang runtuh akibat kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.
Seorang mangsa sudah diselamatkan, namun dua ditemui maut, manakala lapan lagi masih hilang. Selain itu, enam maut, manakala 11 lagi mangsa masih hilang di kampung Ridi yang terletak berhampiran jambatan runtuh, lapor CCTV.
China sedang mengalami musim panas dengan pelbagai kejadian cuaca ekstrem, termasuk hujan lebat, banjir, tanah runtuh dan suhu mencapai rekod tertinggi, yang berdasarkan saintis ia dipengaruhi oleh perubahan iklim menjadikannya lebih kerap dan dahsyat.