(Taiwan, ROC) --- Atlet tinju wanita dari Taiwan, Lin Yu-ting (林郁婷), memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris dalam kelas 57kg. Kemenangan ini mencatatkan sejarah baharu bagi dunia tinju Taiwan dan membanggakan seluruh rakyat Taiwan.
Untuk pencapaian cemerlang ini, Datuk Bandar New Taipei, Hou Yu-ih (侯友宜), mengumumkan bonus NT$5.7 juta, termasuk bonus tambahan NT$3 juta daripada kerajaan bandar, serta tiga polisi khas sebagai satu bentuk penghargaan untuk Lin Yu ting.
Datuk Bandar Hou Yu-ih berkata bahawa perjalanan Lin Yu-ting sejak 15 tahun lalu dipenuhi dengan kerja keras dan pengorbanan. Malah beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai fitnah dan tohmahan kejam semasa Sukan Olimpik. Namun, kemenangan pingat emas kali ini membuatkan semua yang meragui kebolehannya terdiam.
Sebagai bentuk penghormatan terhadap pencapaian Lin Yu-ting di Sukan Olimpik, Hou Yu-ih mengisytiharkan 12 Ogos sebagai "Hari Yu-ting".
Selain itu, Hou Yu-ih turut mengumumkan program menarik khas untuk meraikan kemenangan ini bersama semua rakyat:
1. Orang ramai boleh menikmati akses percuma selama sehari penuh pada 12 Ogos 2024, untuk menggunakan dua laluan LRT di New Taipei, iaitu Rel Ringan Danhai dan Rel Ringan Ankeng.
2. Semua muzium di New Taipei akan menyediakan kemasukan percuma selama tujuh hari, bermula dari 12 Ogos 2024.
3. Sebanyak 16 pusat sukan negara di New Taipei, pusat kecergasan di Taman Sukan Banqiao dan Taishan, serta kolam renang, akan menyediakan akses percuma selama tujuh hari, bermula dari 12 Ogos 2024.