Taufan Maria yang teruk melanda utara Jepun dengan mengalami purata hujan lebih daripada tempoh dua bulan dalam tempoh 24 jam lalu memaksa berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Taufan Maria melanda berhampiran bandar Ofunato di wilayah Iwate, kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun menurut Majlis perbandaran Iwate, tiada laporan kecederaan direkodkan.
Majlis perbandaran di wilayah itu mengeluarkan pelbagai nasihat dan amaran pemindahan kepada kira-kira 315,000 penduduk dalam tempoh 24 jam lalu dan kira-kira 2,000 bermalam di pusat perlindungan tempatan.
Taufan itu mengakibatkan taburan hujan sebanyak 362 milimeter dalam tempoh 24 jam.
Sehingga pagi ini di bandar Kuji, ia merekodkan jumlah tertinggi hujan mengatasi rekod terdahulunya agensi berkenaan yang dicatatkan pada 1978.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, ribut taufan Maria membawa angin kencang dengan kelajuan 126 kilometer sejam dan bergerak ke barat laut dengan kelajuan 15 kilometer sejam, memaksa pembatalan penerbangan ke wilayah utara.
Dalam pada itu, Japan Airlines memaklumkan pihaknya membatalkan 78 penerbangan domestik yang menjejaskan 7,039 penumpang.
Sementara itu, menurut laporan stesen penyiar nasional, NH, syarikat penerbangan ANA membatalkan lapan penerbangan.
Selain itu, beberapa perkhidmatan kereta api serantau menggantung perkhidmatan mereka walaupun sistem kereta api laju meneruskan operasi biasa.
Taufan itu dijangka merentasi Jepun dan menuju ke Laut Jepun menjelang petang ini.