close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Mandian Terlalu Panas dan Terlalu Lama Boleh Sebabkan "Heat Stroke" yang Bahaya. Doktor Cadangkan Suhu Air di Bawah 40°C dan Tidak Melebihi 15 Minit.

  • 09 December, 2024
  • 陳鑀枚
Mandian Terlalu Panas dan Terlalu Lama Boleh Sebabkan
Mandi (foto:pexels)

Pelakon terkenal Jepun, Nakayama Miho(中山美穗), baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba di dalam tab mandian rumahnya. Ramai mengesyaki punca kematian adalah disebabkan oleh "heat stroke". Dr. Huang Chen-You (黃晨祐)dari Pusat Kardiovaskular Hospital Cathay hari ini (9hb) menjelaskan bahawa apabila suhu air melebihi 40°C dan seseorang berada dalam air selama lebih daripada 10 hingga 15 minit, mekanisme pengawalan haba badan boleh terganggu, mengakibatkan keabnormalan pada pelbagai organ badan. Disebabkan suhu air panas biasanya tinggi, beliau mencadangkan orang ramai untuk mengelakkan mandi air panas atau mandi dalam air bersuhu lebih dari 40°C dan tidak melebihi 15 minit.

Menurut laporan media asing, autopsi mengesahkan kematian Nakayama Miho sebagai kemalangan, dan puncanya dipercayai akibat "heat stroke". Dengan cuaca yang semakin sejuk dan jangkaan kedatangan gelombang udara sejuk kuat dari benua minggu ini, orang ramai diingatkan untuk lebih berhati-hati semasa mandi air panas atau berendam di kolam air panas.

Dr. Huang Chen-You, dalam satu temu bual pada 9hb, menerangkan bahawa "heat stroke" adalah sejenis kecederaan haba. Di Taiwan, kes "heat stroke" lebih kerap berlaku pada musim panas. Namun, pada musim sejuk, ia biasanya disebabkan oleh mandi air panas atau berendam di kolam air panas terlalu lama. Beliau menjelaskan bahawa suhu teras badan manusia adalah sekitar 37°C, dan apabila badan terdedah kepada persekitaran suhu tinggi untuk tempoh masa yang lama hingga suhu teras melebihi 38°C, pelbagai organ badan boleh mengalami keabnormalan, menyebabkan "heat stroke". Katanya: “(Petikan asal) Tekanan darah hanya sebahagian kecil daripada masalah. Fungsi saraf simpatetik dan sistem saraf pusat juga boleh terjejas. Dalam kes "heat stroke" yang serius, pesakit mungkin hilang kesedaran, bukan semata-mata kerana tekanan darah rendah tetapi juga kerana suhu teras badan yang terlalu tinggi, yang turut memberi kesan kepada fungsi otak.”

Dr. Huang juga berkata, apabila suhu air melebihi 40°C dan seseorang berada dalam air lebih dari 10 hingga 15 minit, fungsi pengawalan haba badan semakin merosot. Oleh kerana suhu kolam air panas biasanya melebihi 40°C, beliau tidak menggalakkan penggunaannya, terutamanya bagi pesakit penyakit kardiovaskular, wanita hamil, dan warga tua. Jika seseorang mengalami "heat stroke", individu tersebut perlu segera dipindahkan ke tempat teduh, badan dikeringkan, dan suhu badan diturunkan secara semula jadi. Jika masih sedar, pesakit boleh diberikan air untuk diminum secara sederhana. Jika keadaan tidak bertambah baik selepas berehat selama 5 hingga 10 minit, rawatan perubatan segera perlu dilakukan.

Beliau menambah, jika tujuan berendam adalah untuk melancarkan saluran darah atau melegakan otot, aktiviti fizikal lain boleh dijadikan alternatif. Jika berendam di kolam air panas tidak dapat dielakkan, elakkan melakukannya seorang diri. Suhu air mandian pula sebaiknya tidak melebihi 40°C, dan elakkan mandi selepas minum alkohol atau mengambil ubat tidur. Semasa mandi, pastikan pemanas bilik dihidupkan untuk mengelakkan perbezaan suhu yang terlalu besar antara dalam dan luar badan.

Komen

Terbaharumore