close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Program Tiga Tahun Dijalankan untuk Bantu Golongan Berpendapatan Rendah Urus Kewangan dengan Bijak

  • 01 February, 2025
  • 楊偉光
Program Tiga Tahun Dijalankan untuk Bantu Golongan Berpendapatan Rendah Urus Kewangan dengan Bijak
Yayasan DBS Bekerjasama dengan Yayasan Hua Shan dan Pusat Penyelidikan Kewangan

Dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan warga emas yang menghadapi masalah kewangan, Yayasan DBS telah bekerjasama dengan Yayasan Hua Shan (華山基金會) dan Pusat Penyelidikan Kewangan Guru Urus Wang (馴錢師) untuk melancarkan program tiga tahun. Program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang cara mengurus hutang dengan lebih efektif dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam krisis kewangan yang lebih teruk.

Menurut statistik, ramai individu yang terdesak untuk keluar dari kemiskinan sering kali terjebak dengan pinjaman tidak rasmi seperti pinjaman dalam talian atau melalui ceti haram. Ini menyebabkan mereka terperangkap dalam lingkaran hutang yang lebih besar, malah ada yang menjadi mangsa penipuan kewangan.

Biasanya, pertubuhan amal memberikan bantuan kewangan secara terus kepada keluarga yang memerlukan. Namun, Guru Urus Wang  mengambil pendekatan yang berbeza dengan mengajar mereka cara "memancing" (mengurus kewangan sendiri) dan bukannya sekadar "memberi ikan" (bantuan kewangan sementara). 

Pengerusi Eksekutif Pusat Penyelidikan Kewangan Guru Urus Wang , Qiu Shuyun (邱淑芸 ), menjelaskan bahawa generasi kedua daripada keluarga miskin sering menjadi mangsa penipuan kerana terlalu ingin cepat kaya. Mereka mudah terpengaruh dengan pelaburan atau pinjaman yang tidak jelas, sehingga menyebabkan masalah kewangan yang lebih serius. Selain itu, beliau juga menekankan bahawa terdapat golongan pertengahan umur (40-an) yang bukan warga emas atau kurang upaya, tetapi menghadapi kesulitan kewangan yang memerlukan bantuan.

"Ada kes di mana individu tersebut sentiasa mengalami defisit kewangan. Contohnya, seorang ibu tunggal yang menjaga anak dan tidak bekerja, hanya bergantung pada bantuan kerajaan. Apabila anak membesar, perbelanjaan meningkat, dan ini menimbulkan kebimbangan tentang masa depan. Kami akan bekerjasama dengan pekerja sosial untuk membantu mereka mengurangkan tekanan kewangan dan memberikan panduan tentang cara mengurus kewangan dengan lebih baik," kata Qiu Shuyun (邱淑芸 ) .

Selain itu, terdapat juga kes di mana pendapatan individu disita oleh mahkamah kerana hutang. Guru Urus Wang akan membantu menilai semula kontrak pinjaman dan memastikan perbelanjaan asas seperti keperluan hidup dan keperluan anak diambil kira. Mereka juga bekerjasama dengan pertubuhan bantuan undang-undang untuk menyelesaikan masalah hutang melalui rundingan atau proses pemulihan kewangan.

Setiap tahun, seramai 1,000 hingga 2,000 orang mendapatkan bantuan kewangan melalui rujukan pekerja sosial. Melalui kerjasama dengan Yayasan DBS, Guru Urus Wang merancang untuk membangunkan platform kecerdasan buatan (AI) yang akan menyediakan model penilaian kewangan. Platform ini akan mula digunakan oleh pekerja sosial pada tahun pertama, dan dijangka dibuka kepada orang awam untuk konsultasi dalam talian pada tahun berikutnya. Program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kesihatan kewangan bagi 270,000 individu yang menghadapi masalah kewangan dalam tempoh tiga tahun.

Dengan pendekatan ini, diharapkan golongan berpendapatan rendah dapat belajar mengurus kewangan dengan lebih bijak dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam hutang yang lebih besar.

Komen

Terbaharumore