Jabatan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan Taiwan pada 27hb, Februari mengumumkan usaha aktif dalam mempromosikan pelancongan di selatan Taiwan kepada masyarakat Thailand. Destinasi seperti Chiayi, Tainan, Kaohsiung, Pingtung, Hualien, dan Taitung diperkenalkan melalui kereta bertema khas yang direka berdasarkan lima tarikan utama pelancongan, termasuk makanan, bagi membolehkan rakyat Thailand menikmati keindahan Taiwan walaupun ketika menggunakan pengangkutan awam.
Dalam strategi pemasaran di Thailand, Jabatan Pelancongan telah bekerjasama dengan jurugambar terkenal Thailand, Kankavee Karnjanadecha, dan artis grafiti terkenal dengan nama pena Benzilla (Parinya Sirisinsuk). Mereka menghasilkan karya seni khas untuk mempromosikan pelancongan di selatan Taiwan. Iklan pelancongan Taiwan kini dipaparkan dalam sistem pengangkutan awam di Bangkok, membolehkan rakyat Thailand menemui keindahan Taiwan melalui BTS Skytrain dan MRT.
Destinasi utama yang dipromosikan termasuk Chiayi, Tainan, Kaohsiung, Pingtung, Hualien, dan Taitung, selaras dengan konsep jenama pelancongan baharu Taiwan, "TAIWAN – Waves of Wonder" (Taiwan Menawan, Kejutan Tanpa Batas). Promosi ini menekankan empat musim wajib lawat dan lima daya tarikan utama pelancongan, iaitu makanan, destinasi pelancongan, berbasikal , budaya suku kaum, dan kereta api.
Menurut Jabatan Pelancongan, rakyat Thailand sangat menggemari perjalanan ke Taiwan untuk melihat bunga sakura, berendam di air panas, serta menaiki kereta api Alishan. Mereka juga berminat dengan bangunan bersejarah bergaya Eropah, seperti Muzium Kesusasteraan Taiwan Nasional. Oleh itu, kempen ini dirancang bagi memenuhi minat pelancong Thailand serta meningkatkan keinginan mereka untuk menerokai destinasi baharu di selatan Taiwan.