Biro Pertanian Bandar Taichung telah bekerjasama dengan Persatuan Petani Daerah Waipu untuk mencipta sawah berhias seluas 1.25 hektar. Sawah ini digunakan sebagai medium promosi bagi Ekspo Pertanian Taiwan Tengah 2025 yang akan berlangsung di Taichung. Menurut Biro Pertanian, corak sawah berhias ini akan mulai terbentuk dalam tempoh 45 hari, dengan tempoh terbaik untuk melihatnya pada awal Mei.
Hari ini, Biro Pertanian Taichung dan Persatuan Petani Waipu mengadakan aktiviti menanam padi di sawah tersebut. Seramai 15 murid dan guru dari Sekolah Rendah Maming(馬鳴國小) turut serta bersama para petani, merasai pengalaman bekerja di ladang dan memahami jerih payah serta kegembiraan dalam bidang pertanian.
Tema corak sawah berhias kali ini menampilkan karakter "Bayi Buah Pitaya" yang mewakili produk pertanian utama di Daerah Waipu. Katak kecil di atas kepalanya melambangkan kaedah pertanian mesra alam, mencerminkan kasih sayang dan usaha petani dalam menjaga tanah. Selain itu, reka bentuk ini turut menyelitkan semangat kemenangan pasukan Taiwan dalam Kejohanan Besbol Dunia 12 Pasukan, menambahkan elemen semangat dan kegembiraan pada sawah berhias tersebut.
Menurut Biro Pertanian, corak yang baru ditanam masih belum terbentuk sepenuhnya dan akan mulai kelihatan dalam tempoh 45 hari. Waktu terbaik untuk menikmatinya adalah pada awal Mei, manakala selepas penghujung Jun, seiring dengan pertumbuhan dan kematangan padi, corak yang terbentuk akan perlahan-lahan menghilang. Orang ramai disarankan untuk mengunjungi pemandangan di Dek Pemerhatian Jalan Ke-2 Shuitou untuk menikmati keindahan sawah berhias dari perspektif yang lebih tinggi.