close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Kemalangan Kerap Libatkan Kenderaan Elektrik Buatan Sendiri, MOTC Rancang Garis Panduan Nasional

  • 22 April, 2025
  • 李婉琳
Kemalangan Kerap Libatkan Kenderaan Elektrik Buatan Sendiri, MOTC Rancang Garis Panduan Nasional
Pelancong cedera akibat kemalangan semasa menaiki kenderaan elektrik buatan sendiri di Hsinchu, tanpa insurans dan peraturan sah. (Foto: CNA / Orang awam)

Insiden kemalangan melibatkan kenderaan elektrik buatan sendiri yang disewakan berhampiran laluan basikal dan lokasi pelancongan semakin kerap berlaku di Taiwan. Kementerian Pengangkutan dan Perhubungan (MOTC) hari ini menyatakan bahawa kenderaan jenis ini diklasifikasikan sebagai “kenderaan perlahan” di bawah undang-undang dan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. Justeru, satu garis panduan kebangsaan sedang dipertimbangkan bagi rujukan semua daerah.

Trend pelancongan berbasikal telah meningkat di lokasi seperti Chishang (Taitung), Tasik Meihua (Yilan), dan Pelabuhan Nelayan Nanliao (Hsinchu). Ramai pengusaha menyewakan kenderaan elektrik buatan sendiri kepada pelancong untuk mengelilingi kawasan tersebut. Namun, kejadian kemalangan kerap berlaku — termasuk satu kes di Hsinchu baru-baru ini di mana pelancong mengalami kecederaan akibat kemalangan, dan kemudiannya mendapati kenderaan itu tidak diinsuranskan serta tiada peraturan khusus untuk mengawalnya.

Menurut kenyataan MOTC, meskipun kenderaan ini tergolong dalam kategori "kenderaan perlahan" dan perlu dikawal oleh kerajaan tempatan, sekiranya tiada peraturan tempatan yang digubal, maka kenderaan tersebut secara sah tidak boleh digunakan di jalan raya.

Disebabkan tidak semua daerah mempunyai peraturan tersendiri, kementerian memaklumkan bahawa pihaknya bersedia membantu kerajaan tempatan menggubal ordinan khusus, serta sedang mengkaji penetapan satu garis panduan nasional sebagai rujukan umum.

Lee Ker-tsung(李克聰), Ahli Lembaga Persatuan Pengguna Taiwan dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, menegaskan bahawa aspek seperti had penggunaan, mekanisme insurans dan pemeriksaan keselamatan kenderaan perlu dijelaskan menerusi kontrak standard. Tanpa peraturan yang jelas, masalah ini mungkin menjadi lebih serius.

Sementara itu, Profesor Liu Hsi-lin(劉喜臨) dari Institut Pengajian Pelancongan Universiti Nasional Kaohsiung berkata bahawa keselamatan pelancong harus menjadi keutamaan dalam sektor pelancongan. “Apa jua bentuk kenderaan yang digunakan, aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang mesti dijadikan asas,” katanya. Beliau menggesa kerajaan tempatan menggubal peraturan yang menetapkan syarat bagi kenderaan, pemandu dan persekitaran penggunaan, sebelum jumlah pengguna bertambah dan risiko menjadi lebih besar.

Komen

Terbaharumore