close
Suara dari Taiwan Muat turun aplikasi rasmi sekarang
Mula
History page of Radio Taiwan International (Rti)
:::

Setanding "Yu Nu": Varieti Baharu Tomato Kecil "Tainan No. 25" Diperkenalkan, Dijangka Dilancarkan Dua Tahun Lagi

  • 29 April, 2025
  • 陳心怡
Setanding
Stesen Penyelidikan Pertanian Wilayah Tainan telah memperkenalkan varieti baharu tomato kecil, "Tainan No. 25", yang menawarkan rasa kurang manis berbanding "Yu Nu" serta harga yang lebih kompetitif, dan dijadualkan untuk pelancaran dalam tempoh dua tahun akan datang. (Gambar: CNA)

Tomato kecil di Taiwan, terutamanya varieti "Yu Nu" (Gadis Jade, 玉女), sangat digemari oleh petani dan pengguna. Namun, "Yu Nu" kurang tahan terhadap suhu tinggi, menyebabkan musim penanamannya terhad. Hari ini (29 April), Stesen Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Wilayah Tainan di bawah Kementerian Pertanian mengumumkan varieti baharu "Tainan No. 25"(台南25號), yang menawarkan rasa sehebat varieti popular sedia ada, tetapi lebih tahan panas, dan boleh mengisi jurang bekalan selepas musim "Yu Nu" tamat pada bulan April. Varieti ini dijangka dilancarkan secara komersial dalam dua tahun lagi.

Tomato kecil memainkan peranan penting dalam industri tomato Taiwan. Menurut statistik, keseluruhan kawasan tanaman tomato di Taiwan melebihi 3,500 hektar, di mana lebih separuh daripadanya lebih 2,000 hektar adalah tomato kecil. Tanaman dalam kemudahan tertutup pula meliputi 700 hingga 800 hektar, kebanyakannya tertumpu di daerah Chiayi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran borong tomato kecil di Taiwan dikuasai oleh varieti "Yu Nu" dan "Sheng Nu" (Gadis Suci), dengan "Yu Nu" menjadi kegemaran petani dan pengguna, yang tempoh pengeluarannya tertumpu dari Disember hingga April tahun berikutnya. Bagi mengukuhkan pembangunan mampan tomato kecil yang ditanam di kemudahan tertutup, Stesen Pertanian Tainan memperkenalkan varieti baharu "Tainan No. 25" pada 29 April.

Menurut Pengarah Stesen Pertanian Tainan, Chen Yu-chu, "Tainan No. 25" mempunyai bentuk buah lonjong dengan isi berwarna merah. Nisbah gula kepada asidnya boleh mencecah 25.4 tidak semanis "Yu Nu" tetapi dengan rasa yang tidak kalah dibandingkan varieti utama di pasaran. Tambahan pula, ia tahan panas, sesuai untuk persekitaran pertumbuhan dari Mac hingga Mei, mengisi kekosongan pasaran selepas musim "Yu Nu" berakhir pada April. Tempoh pengeluarannya berbeza dengan tomato kemudahan lain sedia ada. Selain itu, apabila disimpan pada suhu 5°C selama empat minggu, sekitar 70% hingga 85% buah masih mengekalkan kualiti komersial, menjadikannya sangat berpotensi untuk pasaran eksport.

Chen Yu-chu berkata, "Selepas disimpan pada 5°C selama empat minggu, tomato ini masih mempunyai kadar kualiti sebanyak 80% hingga 85%. Rasa dan teksturnya hampir tiada perbezaan berbanding dengan tomato segar yang baru dituai. Oleh itu, kami percaya ia mempunyai potensi eksport yang sangat tinggi kerana kesegarannya dapat dikekalkan sepanjang proses pengangkutan."

Stesen Pertanian juga menyatakan bahawa "Tainan No. 25" kini sudah diuji tanam oleh beberapa petani dan sedang dalam proses pemindahan teknologi kepada syarikat benih untuk pengeluaran komersial. Ia dijangka mula dipromosikan kepada petani tahun depan, dan paling awal akan berada di pasaran dalam tempoh dua tahun, dengan harga yang lebih berpatutan berbanding tomato "Yu Nu".

Komen

Terbaharumore