Majlis graduasi bagi penerima Biasiswa Taiwan dan Biasiswa Bahasa Cina bagi tahun akademik ke-113 telah berlangsung hari ini di Taipei, dengan seramai 912 pelajar dari 82 negara meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian.
Timbalan Menteri Pendidikan Taiwan(MOE), Yeh Ping-Cheng , dalam ucapannya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan satu inisiatif baharu—“Program Kelas Khas Baharu”—yang bertujuan menarik pelajar antarabangsa untuk terus bekerja di Taiwan selepas tamat pengajian. Program ini menyediakan biasiswa, elaun sara hidup, serta sokongan akademik dan pekerjaan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan lebih ramai bakat antarabangsa kekal di Taiwan.
Yeh mengucapkan penghargaan kepada para pelajar atas keberanian dan ketabahan mereka datang ke Taiwan, mengharungi cabaran bahasa dan budaya, dan dalam masa yang sama turut memperkaya masyarakat Taiwan dengan perspektif dan pengalaman antarabangsa. Beliau berkata bahawa kehadiran pelajar asing telah mengeratkan hubungan antara Taiwan dan dunia luar.
Beliau juga menggalakkan para graduan untuk mempertimbangkan kerjaya di Taiwan melalui program sedia ada seperti “Pelan Bimbingan Pekerjaan untuk Pelajar Antarabangsa” atau menyambung pengajian melalui Program Kelas Khas Baharu yang dimulakan tahun ini. Program tersebut memberi keutamaan kepada bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik), kewangan, serta industri semikonduktor. Ia disokong oleh Dana Pembangunan Negara dan syarikat-syarikat swasta yang menyediakan elaun sara hidup, dengan syarat pelajar perlu bekerja di Taiwan sekurang-kurangnya dua tahun selepas tamat pengajian.
Program ini telah dibuka untuk pengambilan semester musim bunga tahun akademik ke-113, dan pelajar antarabangsa yang sedang menuntut di tahun tiga dan empat turut layak memohon.
Salah seorang graduan, Lee Sher Ling dari Malaysia, berkongsi pengalamannya sewaktu mula tiba di Taiwan. Beliau mengakui merasa bimbang dengan suasana baharu, namun berjaya menyesuaikan diri melalui penerokaan bersendirian ke pasar malam dan mencuba menunggang motosikal. Lee menyatakan rasa terima kasih atas kebaikan dan keterbukaan masyarakat Taiwan, dan menyatakan bahawa beliau akan membawa pulang kenangan persahabatan dan ilmu sebagai permulaan baharu dalam kehidupannya.