Presiden Lai Ching-te hari ini (22hb) mempengerusikan Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Pendorong "Taiwan Sihat", dan menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah penduduk yang aktif secara fizikal sebanyak 15% menjelang tahun 2030 berbanding tahun 2021, dalam usaha mempromosikan sukan untuk semua. Beliau menegaskan bahawa sasaran tersebut bukanlah berdasarkan purata seluruh negara, sebaliknya setiap daerah dan bandar diwajibkan untuk mencapainya secara individu. Oleh itu, beliau meminta kerjasama antara kementerian berkaitan dan kerajaan tempatan untuk membincang dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya. Presiden turut menyokong cadangan ahli jawatankuasa agar dikaji kemungkinan mewajibkan penganjur acara maraton untuk menyediakan peranti AED (Automated External Defibrillator) pada jarak yang sesuai sepanjang laluan.
Dalam mesyuarat tersebut, Presiden menyatakan bahawa kerajaan pusat dan tempatan telah bersama-sama membangunkan persekitaran mesra sukan yang lengkap dan bertaraf, seperti laluan berbasikal, denai berjalan kaki, dan kemudahan sukan. Beliau meminta kementerian berkaitan bekerjasama dengan kerajaan tempatan untuk menyusun dan menerbitkan maklumat mengenai laluan berjalan kaki, membangunkan rangkaian denai yang selamat dan mesra pengguna, serta sistem penarafan denai. Ini akan digabungkan dengan mekanisme insentif dan subsidi bagi menggalakkan rakyat menyertai aktiviti sukan.
Presiden juga berharap agar kerajaan tempatan dapat bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta untuk merangka langkah promosi sukan yang sesuai dengan keadaan setempat, agar aktiviti fizikal menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat. Beliau menegaskan bahawa setiap daerah perlu mencapai peningkatan sekurang-kurangnya 15%, bukan hanya sekadar purata nasional. Jurucakap Pejabat Presiden, Karen Kuo(郭雅慧), mengatakan, “Setiap daerah perlu mencapai sekurang-kurangnya 15%. Ini bukan nilai purata. Untuk mencapai sasaran ini, Presiden telah mengarahkan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan serta agensi berkaitan supaya menjemput kerajaan daerah untuk membincangkan secara terperinci berdasarkan beberapa piawaian yang dibentangkan hari ini.”
Presiden turut menegaskan bahawa penyampaian dan pengamalan ilmu kesihatan perlu dilaksanakan dalam sistem pendidikan. Pendidikan kesihatan mesti dipastikan di setiap peringkat pembelajaran dan diperluas ke seluruh masyarakat, membentuk sistem sokongan dari sekolah ke rumah, dan seterusnya ke komuniti. Ia juga perlu digabungkan dengan inisiatif kesihatan di tempat kerja dan institusi perubatan, agar pendidikan kesihatan bukan sahaja menjadi ilmu, tetapi juga amalan dalam kehidupan seharian untuk mencapai matlamat Taiwan yang sihat.
Beliau turut menyatakan bahawa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (FSC) telah meminta syarikat tersenarai untuk memasukkan unsur promosi kesihatan dalam pelaporan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat), dan beliau percaya hasilnya akan menjadi lebih baik.
Akhir sekali, Presiden bersetuju dengan cadangan Pengarah Kehormat Hospital Taichung Veterans General, Dr. Chen Shih-Ann(陳適安), supaya kementerian berkaitan mengkaji keperluan menyediakan AED atau kakitangan kecemasan pada jarak yang sesuai semasa acara maraton, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.